Wednesday, November 12, 2008

TIADAKAH JALAN PENYELESAIAN?

Juruwang stesen minyak mati ditetak perompak




IPOH 11 Nov. – Pembantu Pegawai Istinbat, Jabatan Mufti Perak yang bekerja sebagai juruwang sambilan di sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar di sini, mati ditetak oleh perompak dalam kejadian samun pada pagi ini.

Kejadian berlaku pukul 6.50 pagi, ketika mangsa, Mohd. Khairuddin Mohamed Isa, 42, atau mesra dipanggil “Ustaz” oleh rakan setugasnya di Jabatan Agama Islam Perak sedang bersiap mahu meninggalkan stesen minyak tersebut selepas hampir tamat waktu bekerja pada pukul 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, perompak bertindak menetak mangsa yang enggan menyerahkan wang kutipan di stesen minyak tersebut.

‘‘Dalam serangan itu, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian tengkuk dan tangan kanan selepas ditetak oleh salah seorang perompak.

‘‘Sebelum itu, empat penjenayah yang tidak memakai sebarang penutup muka terus meluru ke kaunter juruwang meminta mangsa menyerahkan wang dalam mesin juruwang di situ.

‘‘Salah seorang perompak bagaimanapun berang lalu bertindak menetak mangsa apabila dia enggan bekerjasama,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, keempat-empat perompak kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta membawa bersama wang RM1,000 yang diambil dari kaunter juruwang.

Semasa kejadian, katanya, terdapat dua pekerja termasuk Mohd. Khairuddin di dalam premis tersebut manakala dua lagi pekerja berada di luar menjaga pam minyak.

Tambah Azisman, seorang pekerja wanita yang baru masuk untuk memulakan syif pagi bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari premis tersebut.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dibedah siasat dan dituntut keluarganya untuk dikebumikan pada petang ini.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui talian 05-2451500 untuk membantu siasatan.

Sementara itu, seorang rakan sekerja mangsa ketika ditemui memberitahu, Mohd. Khairuddin sangat rajin dan jujur selain sentiasa memastikan amanah yang diberikan kepadanya selaku juruwang dilaksanakan sebaik mungkin.

‘‘Beliau sangat alim dan warak lebih-lebih lagi dia merupakan pengerusi surau di kawasan perumahannya. Saya terkejut dengan kejadian ini dan masih tidak dapat menerima yang ustaz telah tiada,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Ah,sudah bosan setiap hari ada sahaja kes bunuh,rogol,rompak,samun dan perbagai jenis jenayah yang mengisi dada-dada akhbar.Terkadang kita sering terfikir bilakah semua yang berlaku ini akan terhenti atau mungkin sekadar berkurangan pun mungkin sudah melegakan.

Berbalik kepada penyelesaian,Islam sebagai ad-deen dan merupakan agama fitrah telah lama menyediakan penyelesaian.Adanya undang-undang Islam atau juga disebut hukum hudud merupakan kaedah yang disediakan untuk mencegah nafsu manusia yang buas dari melakukan kerosakan.Undang-undang ini bukanlah bersifat retorik tapi bersifat realistik kerana telah terbukti keberkesanannya sejak pertama kali dilaksanakan di negara Islam Madinah yang masyarakatnya bebilang bangsa dan janagn kita lupakan hakikat yang mana bumi bertuah Malaysia inipun pernah melaksanakan undang-undang ini suatu masa dahulu sebelum dihapuskan penjajah laknatullah.

Apa yang dapat kita katakan ialah,kaedah penyelesaiannya sudah ada tetapi sejauh mana kita sebagai manusia yang mengaku beriman dengan Islam secara keseluruhan ini menerima dan berusaha untuk memastikan undang-undang yang bersumberkan wahyu ini terlaksana dan seterusnya menyelesaikan kes-kes jenayan yang semakin merisaukan kita.


Sunday, November 9, 2008

GOLONGAN LELAKI YANG PUPUS

DALAM hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

Antara tanda hari kiamat ialah ilmu semakin sedikit dan kejahilan semakin banyak, zina akan berleluasa, wanita semakin ramai dan lelaki [qowwamun] semakin kurang sehingga 50 wanita hanya dilindungi seorang lelaki. (Bukhari dan Muslim)


Ia adalah satu topik menarik yang selalu dibincangkan dalam pelbagai forum kebapaan iaitu seolah-olah kini nilai kelelakian semakin pupus sama ada dari segi mahupun tanggungjawab. Mengapakah fenomena ini terjadi, apakah puncanya, dan bagaimanakah langkah terbaik untuk mengatasinya? Mungkin ramai yang beranggapan ia membawa maksud bertambahnya bilangan lelaki lembut yang meniru gaya hidup wanita, seperti yang pernah dibincangkan di akhbar tempatan suatu masa dahulu, atau semakin kurangnya bilangan lelaki di dunia pada masa ini.


Pada hakikatnya yang dimaksudkan ialah kurangnya lelaki yang menjalankan peranan mereka sebagai lelaki seperti yang diperintahkan Allah di dalam al-Quran iaitu lelaki sebagai qowwamun (pelindung) kepada wanita.

Allah berfirman di dalam surah an Nisa ayat 34 Yang bermaksud:

Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (kaum lelaki) atas sebahagian yang lain (kaum wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.



Lelaki mendapat dua bahagian lebih daripada kaum wanita dalam pembahagian harta pusaka, lelaki dikehendaki membayar mahar apabila berkahwin, lelaki dikehendaki menggauli isterinya dengan baik, lelaki juga diizinkan berpoligami hingga 4 orang isteri dengan syarat mampu berlaku adil. Mengapakah lelaki diberi kelebihan oleh Allah daripada wanita dalam banyak perkara? Jawapannya ialah kerana lelaki itu memimpin perempuan, bukan perempuan memimpin lelaki dan tidak pula sama kedudukannya.

Lelaki memimpin wanita bukan sahaja berlaku pada manusia, bahkan pada haiwan. Lihatlah bagaimana haiwan jantan memimpin yang betina. Jika ada sekumpulan itik jantan dan betina maka itik jantan yang memimpin berpuluh-puluh itik yang mengiringinya dan begitulah seterusnya.


Maksud hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa antara tanda akhir zaman ialah lelaki semakin kurang daripada wanita dan yang lebih parah, 50 wanita hanya dijaga seorang lelaki.

Merujuk kepada matan hadis itu, Rasulullah juga menggunakan perkataan qowwamun yang bermaksud pelindung untuk 50 wanita dan baginda tidak menggunakan perkataan ar-rijal yang membawa makna lelaki di dalam bahasa Arab. Maksudnya, golongan lelaki yang menjaga wanita semakin sedikit bilangannya pada hari ini.

Yang ramai ialah lelaki yang tidak menjadi penjaga wanita, sebaliknya mengeksploitasi, merogol dan menjadikan mereka sebagai alat melepaskan nafsu.


Lihatlah laporan yang selalu dipaparkan di media cetak dan elektronik mengenai moral atau akhlak masyarakat kita, khususnya orang Melayu Islam yang semakin hari semakin tenat.

Peningkatan kes rogol, sumbang mahram, bunuh, samun, ragut wanita, dera isteri, anak dan pembantu rumah, jelas menunjukkan betapa hilangnya nilai serta peranan ramai lelaki di negara ini. Fenomena ini bukanlah merujuk kepada hilangnya sifat kelelakian kerana mereka bertukar jantina, tetapi disebabkan tidak menjalankan tugas sebagai lelaki yang sebenarnya sebagai pelindung kepada wanita, seperti yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis nabi.


Jika seseorang lelaki itu mempunyai sifat pelindung maka dia akan melihat wanita sebagai kelompok insan yang memerlukan perlindungan, dihormati, dijaga maruah mereka, tidak dikasari, tidak diekspolitasi, apatah lagi diperlakukan sesuka hati seumpama barang mainan. Pendek kata jika masyarakat mempunyai ramai lelaki pelindung, kuranglah masalah kekeluargaan dan sosial.


Dalam kehidupan berkeluarga, masyarakat amat memerlukan lelaki bersifat pelindung. Mereka tidak akan malas di rumah dan membiarkan isteri dan anak sahaja membanting tulang setiap hari. Selain itu mereka tidak akan memukul atau mendera sama ada isteri mahupun anak, tidak menengking, tidak mengherdik, tidak memaki, mencaci dan mencarut kepada isteri dan ahli keluarganya. Lelaki pelindung juga tidak akan menggadaikan maruah anak dan isterinya walau sesulit manapun masalah yang dihadapinya. Sayangnya lelaki pelindung semakin pupus bilangannya dalam masyarakat hari ini.


Namun, wanita juga turut menyumbang kepada pelupusan sifat pelindung lelaki berikutan lantangnya suara sumbang golongan aktivis wanita yang ingin menyamaratakan taraf wanita dan lelaki tanpa menyedari akan risikonya. Mereka juga galak menyeru kepada usaha dominasi wanita terhadap tugas yang selama ini dipegang kaum lelaki. Pada masa sama, semakin ramai pula wanita yang rela diri mereka dieksploitasi oleh lelaki yang mementingkan nafsu dan keuntungan material semata-mata, hingga wujudnya golongan Pelayan Pelanggan (GRO) atau pelacur yang dianggap bukan lagi suatu masalah dalam masyarakat.


Media massa berlumba-lumba menggunakan wanita untuk melariskan produk mereka. Apa logiknya wanita berpakaian ketat dan seksi berbaring di atas kereta baru yang hendak dilancarkan? Perkara seumpama ini tidak akan berlaku jika lelaki mempunyai sifat pelindung dan wanita pula menyedari mereka wajib dilindungi, bukan dieksploitasi atau diperalatkan untuk kepentingan duniawi.


Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk menyedarkan kaum lelaki mengenai tugas mereka? Dalam hal ini, lelaki Muslim perlu menyedari kedudukan mereka di hadapan Allah dan kembali kepada Islam yang mengangkat martabat wanita dengan lelaki sebagai pelindung martabat tersebut.


Jika lelaki Muslim sedar bahawa dia hamba Allah, maka dia wajib menurut perintah Allah. Jika ingin mengikuti perintah Allah, dia wajib patuh ajaran al-Quran yang menyuruh lelaki menjadi pelindung kepada wanita dan mengikut contoh pelindung terbaik iaitu baginda Rasulullah saw. Rasulullah tidak pernah menyakiti apatah lagi menganiaya dan menzalimi wanita, terutama isteri baginda sendiri. Baginda mengajar kita melindungi wanita yang menjadi sebahagian daripada unsur utama masyarakat Islam. Dengan mengikuti sunnah Baginda, seseorang lelaki itu akan sentiasa menjadi pelindung kepada wanita.


Sabda Rasulullah di dalam sebuah hadis :

Daripada Muawiyah b Haidah al Qusyairi bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah:

Ya Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suaminya. Baginda menjawab, jika engkau makan dia pun hendaklah diberi makan, jika engkau membuat pakaian, dia hendaklah diberi pakaian, kalau memukul jangan mukanya dipukul dan jangan dikatakan dia buruk. (Abu Daud)

Saturday, November 8, 2008

MUSIM PEPERIKSAAN

Sekarang ini telah bermula saat yang ditunggu-tunggu oleh semua pelajar untuk membuktikan kemampuan masing-masing, minggu peperiksaan.Maka bermulalah satu minggu yang digelar "minggu study" barulah nampak suasana keilmuan sesebuah institusi tanpa mengira apakah nama ipt tersebut.Sana-sini kita akan melihat semua pelajar sibuk mentelaah pelajaran masing-masing yang baru terjumpa nota kuliah,yang baru cari nota dan macam-macam jenis pelajar akan kita jumpa pada saat ini.


Adakah ini suasana yang kita impikan untuk institusi yang bakal melahirkan kepimpinan, tidak kiralah sebesar-besar kepimpinan iaitu kepimpinan negara dan sekecil-kecil kepimpinan iaitu sesebuah organisasi.Lahirnya pelajar-pelajar yang tidak mempedulikan isu-isu semasa yang berlaku kerana budaya kemalasan melampau dan melihat keperluan study hanyalah semata -mata untuk mendapat pointer yang cemerlang di dalam peperiksaan.Mari bersama-sama kita fikirkan...

Thursday, October 30, 2008

REHLAH DAN JAMUAN AKHIR TAHUN NUQABA (REHAN 2008)

Hari ini setelah sepetang berpenat lelah maka selesailah satu lagi program pengisian untuk membentuk diri ini sebagai seorang bakal guru dan yang lebih utama menjadi seorang daie yang bakal terjun ke medan masyarakat.Program ini telah dibuat di satu tempat yang terletak di pinggir Putrajaya,iaitu Astana Dugang,Teratak Hijjaz,Country Resort yang diuruskan oleh kumpulan nasyi terkenal tanah air "Hijjaz".Bila menjengah ke program-program sebegini terasa banyak pula kekurangan diri untuk layak digelar sebagai seorang daie.Tapi bak kata seorang akhawat "kita ni hidup di dunia membawa tiga tugas utama sebagai hamba,khalifah dan juga seorang daie"menyedarkar diri ini keperluan melengkapkan kekurangan.

Pengisian kali ini macam biasa la kan,bila datang program sebegini mesti la ada pembentangan.Ana telah diletakkan di bawah kumpulan akhSufiyyan Anas bersama-sama dengan ikhwah-ikhwah lain,seorang senior dan ketua kumpulan yang tidak akan membosankan anak-anak buah dengan lawak selambernya.

Selain itu,ada juga aktiviti sukaneka makan epal,boling dan sambut belon yang bukan hanya sebagai aktiviti rehlah tapi terselit agenda-agenda tarbiah.Pada waktu malamnye ada lagi pengisian iaitu ceramah oleh seorang aktivis dakwah lulusan UIA yang merupakan antara pimpinan tertinggi GAMIS iaitu setiausaha agong,Al-Fadhil Ustaz Muhd Syaari Abdul Rahman,yang memberikan pengisian yang berkaitan dengan usrah.Cetusan pengalaman dan perkongsian ilmunya cukup membuka minda dan mampu memuhasabahkan diri yang sering mendambakan input-input membina.Program ini berakhir setelah upacara penutup yang telah disempurnakan oleh Al-Fadhil Ustaz Fazdi Harun.Sekian.Wassalam..

Tuesday, October 21, 2008

Jangan Jadi Lilin

“Jadilah lilin… yang membakar diri untuk menerangi… berkorban diri demi kebaikan orang lain!”, itulah ungkapan ‘indah’ yang sering disebut orang kita.

Guru umpama lilin.

Kekasih umpama lilin.

Dan pelbagai siri lilin yang lain, terbakar diri untuk memberi. Simbol pengorbanan.

LIKU DAKWAH

Dakwah adalah jalan yang penuh liku. Dari ujian kesusahan, hinggalah kepada ujian kesenangan malah kejemuan. Dakwah adalah wasilah Tarbiyah yang ertinya pada seni membentuk manusia. Tatkala usaha itu bersabit dengan manusia, banyaklah sakitnya berurusan dengan manusia.

Semuanya ditempuh oleh pendakwah, demi matlamat Tarbiyah yang dijunjungnya, pada seni membentuk manusia.

“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu”

Justeru kesakitan yang dialami oleh pendakwah adalah pada menggauli manusia, sebelum kesakitan berbentuk ujian yang datang dan pergi pada tabiat jalan dakwah.

Dakwah itu perjuangan. Perjuangan seiringan dengan pengorbanan.

JANGAN JADI LILIN YANG TERBAKAR


Dakwah boleh menyinar segar kehidupan manusia yang diseru, mengeluarkan manusia dari gelap kepada cahaya. Jalannya payah dan perlukan sabar, ketika sabar itu digelar Nabi SAW sebagai sinar mentari. Sumber kebaikan, sumber kehidupan, namun sinar hanya datang dari bakaran yang bukan sebarangan.


“… dan sabar itu adalah sinar”

Jika dakwah itu membawa sinar, maka sinar itu jugalah yang perlu dijaga. Usaha menyinari manusia dan alam, terlalu mudah membakar diri orang yang menyerunya sendiri. Manusia penyeru boleh terbakar bukan kerana berkorban, tetapi terkorban kerana hilang kepedulian terhadap tuntutan ke atas diri sendiri. Mengajak orang kepada kebaikan, tetapi membiarkan diri musnah tanpa kebaikan yang sama.

“Pendakwah seperti lilin”… mungkin bukan perumpaan yang hikmah.

Ingatlah pesan Nabi SAW, agar jangan sewenang-wenangnya kita mahu menjadi lilin:


“Perumpamaan orang yang mengajar orang ramai kebaikan tetapi melupakan dirinya sendiri adalah seperti lilin yang memberikan cahaya ke atas orang lain dan (dalam masa yang sama) membiarkan dirinya terbakar”

Lilin itu menyinar. Tetapi sinarnya hasil terbakar diri. Ia menghasilkan manfaat buat orang lain, tetapi membiarkan diri binasa. Ia membekalkan kebaikan yang dimanfaatkan oleh semua orang kecuali dirinya sendiri. Manusia lain mendapat kebaikan darinya, tetapi dirinya sendiri hancur binasa.

Lilin tidak sedar ketika sibuk menghasilkan cahaya, dirinya sendiri menuju gelita, fana’ dan binasa.

JADILAH LAMPU PELITA YANG MENYINAR


Justeru Baginda SAW berpesan dengan pesanan yang menampakkan ketelitian pada bicara dan makna, lantas bersabda:


“Perumpamaan seorang yang berilmu yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai, dan melupakan (kepentingan-kepentingan) dirinya adalah seperti lampu pelita yang memberikan cahaya untuk manusia dan membakar dirinya”

Harusnya pendakwah dan pendidik itu jadi pelita.

Gelaran Nabi SAW kepada mereka adalah si ALIM, bukan sekadar seorang manusia. ALIM itu sandarannya ilmu. Tahu ilmu mendidik orang, tahu ilmu mendidik diri.

Perumpamaan yang baik itu ditujukan kepada seorang alim yang muallim. Seorang yang bukan sekadar tahu-tahu kemudian menyibukkan diri memberitahu, lalu mudah alpa ke atas diri sendiri. Sesungguhnya manusia seperti inilah yang sering menjadi lilin.

Akan tetapi lampu pelita menyinarkan cahaya untuk orang lain, dengan apa yang ada pada dirinya. Dirinya diberikan hak seperti yang sepatutnya, agar boleh terus bekerja dan berusaha. Ilmunya, masanya, tenaganya, semua ini menghasilkan sinar. Yang dikorbankan adalah kepentingan-kepentingan diri yang merugikan, bukannya terkorban diri kerana sibuk memberi. Terbakar itu adalah pengorbanan diri dan bukannya mangsa korban diri,

Merekalah manusia yang hidupnya dengan ilmu itu adalah untuk memberi, hidup bukan untuk diri sendiri.

PESANAN BUAT LILIN

Justeru bagi sekalian yang alpa menjadi lilin, janganlah dirimu terang sebatang hanya sepetang. Engkau harus berusaha menjadi lampu yang sentiasa mengisi diri dengan bahan bakar untuk terus bercahaya. Terbakarnya berterusan menghasilkan kebaikan, dan terus menerus berkorban, bukannya tamat kerana mangsa korban… korban sendiri yang alpa terhadap diri.

Manusia yang tidak memiliki, adalah manusia yang alpa diri, tidaklah dia mampu hidup memberi.

Saturday, October 11, 2008

KEHIDUPAN YANG KADANG -KADANG MENGUJI

Kehidupan adakalanya begitu sukar untuk dihadapi andai diri merasa serba kekurangan.Kadang-kadang kita merasakan kenapakah diri ini tidak dikurniakan kehebatan dan kelebihan seperti orang lain.Tapi...jika kita menyedari Allah itu maha adil dan setiap manusia telah dianugerahkan kehebatan dan kelebihan sudah pasti diri tertunduk malu kala kurniaan itu wujud tanpa disedari.Ayuh, kita sebagai manusia yang mengakui beriman insaflah diri,carilah anugerah yang telah diberikan itu dan bersyukurlah dengan kurniaan itu.

Friday, October 10, 2008

Kali Pertama Menulis

Kali pertama tak tahu pe yang nak ditulis.Cuma aku mengharapkan penulisan ku disini bakal memberi manfaat pada masa yang akan datang.salam perkenalan.