Saturday, June 20, 2009

Sistem pendidikan negara hanya berjaya daripada espek meterial

Nyza Ayob
Sat Jun 20, 09

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Sistem pendidikan di Malaysia hanya berjaya daripada aspek material tetapi gagal dalam mengetengahkan aspek pembangunan manusiawai atau pembangunan insan.

Demikian ditegaskan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato' Abu Bakar Chik sebagai respons kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Malaysia dikagumi dan disanjung tinggi sebagai salah sebuah negara ahli Komanwel yang jauh ke hadapan dalam bidang pendidikan berbanding negara lain.

Jelas beliau, pembangunan modal insan ialah kemampuan individu mengurus diri dan mengurus negara sehingga membawa kesejahteraan.

Beliau berpandangan individu yang dapat menjejakkan kaki di pusat-pusat pengajian tinggi, semakin hari dilihat tidak dapat menguruskan diri ke arah yang lebih positif.

"Hari ini kita lihat tidak kurang dua juta penagih dadah, tidak kurang dua juta yang minum arak dan tidak kurang dua juta yang mengalami tekanan mental. Jadi ini bermakna satu perlima daripada jumlah penduduk yang mengalami masalah sakhsiah diri.

"Ini berkaitan dengan pendidikan. Dan kesan daripada sistem pendidikan yang tidak menekankan pembangunan manusiawi inilah akan menyebabkan adanya individu yang dikatakan berpendidikan tinggi tetapi terlibat dengan gejala rasuah serta penyalahgunaan kuasa," katanya.

Sehubungan itu beliau menekankan, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan tidak harus hanya berbangga dengan kemudahan teknologi maklumat yang dikatakan salah satu kaedah pendidikan, tetapi harus menilai kembali pembentukan jati diri serta akhlak kepada setiap pelajar.