Thursday, March 26, 2009

Relevankah Perlaksanaan Hudud di Malaysia???

Pada malam tadi aku telah menghadiri satu forum ilmiah bertempat di UM hanya dengan satu tujuan iaitu untuk menambahkan lagi koleksi ilmiah di dalam hard disk mindaku ini.Bak kata orang orang yang tidak memiliki sesuatu pasti tidak akan mampu untuk memberikan sesuatu.Forum pada malam tadi telah diserikan dengan kehadiran dua tokoh yang tidak asing lagi iaitu Dr.Mujahid Yusof Rawa selaku ahli parlimen Parit Buntar merupakan AJK PAS pusat,juga merupakan pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS dan PROF Madya Dr Aziz Bari yang merupakan pensyarah kanan di fakulti undang-undang UIA .

Tahniah Nik Madihah : Awasi Dunia Barumu


Tahniah kepada adik Nik Nur Madihah atas kejayaannya menempa sejarah pendidikan negara dengan pencapaian 20 A. 19 1A, dan 1 2A. Bagi individu berlatarbelakangkan agama seperti saya, kejayaan ini lebih manis apabila datang dari seorang muslimah yang sempurna penutupan aurat dan bersekolah agama. Lebih manis lagi apabila ia lahir dari sebuah keluarga yang tidak berada dari sudut kebendaan, tidak pula dilimpahi kemudahan-kemudahan tambahan seperti tuisyen dan lainnya.

Inilah yang dinamakan dakwah bil hal, iaitu satu bentuk teladan dan ajakan kepada kebaikan melalui pencapaian dan teladan hasil kejayaan dan perlakuan diri, bukan melalui percakapan atau tulisan. Benar, hampir seluruh Malaysia menumpu kepada beliau, dan tabiat manusia khususnya orang Malaysia adalah ingin mengetahui ‘rahsia' kejayaannya. Lebih biasa kita dengar adalah cuba mendapatkan jalan pendek kepada kejayaan yang sama. Kasihan juga memikirkan minda sebahagian muslim yang inginkan kejayaan tetapi melalui rahsia tertentu, ayat Al-Quran tertentu, doa khusus dengan ‘power' tertentu dan lainnya, dengan harapan semua itu akan memberi satu kuasa luar biasa walaupun tanpa susah payah usaha, mereka cuba mengelak dari jalan sukar dan panjang. Ia adalah satu minda yang songsang kerana semua kejayaan melalui jalan pendek adalah tiada kukuh asasnya atau HAMPIR SEMUANYA diperolehi dengan jalan korup dan salah.

Apa yang lebih menarik pihak media massa dalam kisah adik Nik Madihah, bukan sekadar kejayaannya tetapi juga ketabahannya mengharungi pembelajaran dalam suasana serba kekurangan harta benda yang kerap dijadikan ukuran kebolehjayaan seseorang. Jelas, limpahan kebendaan bukanlah satu kewajiban untuk mencatat kejayaan cemerlang.

IBADAH DAN KEJAYAAN

Kenyataan Nik Nur Madihah yang berterus terang berkenaan kebiasaannya berpuasa Isnin Khamis turut memberikan impak positif kepada ibadah puasa yang adakalanya dilihat serong oleh manusia bertuhan aqal (mereka adalah kumpulan sekular), yang sering mendakwa puasa boleh membantutkan prestasi pelajaran dan kerja kerana keletihan dan tidak bermaya.

Tudung labuhnya tidak menutup mindanya dari cerdas sebagaimana anggapan dan tuduhan sebahagian wanita moden yang amat membenci pakaian Islam ini. Bibirnya tidak perlukan warnaan merah lipstick, matanya tidak perlukan eyeshadow warna abdomen langau yang kehijauan dan pipinya tidak perlukan blusher merah agar dilihat bijak. Semuanya natural. Beliau juga tidak perlukan skirt pendek bagi menampaknya kecekapan mindanya.

Mujurlah adik Nik tidak memaklumkan berkenaan ibadah solat malam dan tahajjudnya. Jika tidak tentunya bekas pemimpin dan pemimpin yang pernah ‘membantai' solat malam dengan hujjah ia memundurkan prestasi pelajar akan seolah-olah ditampar kiri kanan serta terkena jurus ‘flying kick' di perut.

CABARAN MENGEKAL KEJAYAAN

Erti kejayaan amat luas dan subjektif, sebagai umat Islam kita wajib melihatnya dari perspektif keagamaan terlebih dahulu sebelum tenggelam dengan takrifan dan definisi kejayaan dari kacamata kebendaan. Namun saya tidak ingin memanjangkan takrif dan erti tersebut di dalam artikel ini.

Apapun saya ingin merakamkan tahniah kepada adik Nik Nur Madihah dan para pelajar lain yang berjaya menempa kecemerlangan dalam peperiksaan SPM mereka.

Namun beringat-ingatlah, pengalaman saya mengambil SPM di awal tahun 1990 an, dan melihat kejayaan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan SPM memperlihatkan satu gambaran dan analisa yang berbeza-beza.

Tidak sedikit pelajar yang menyapu bersih 1A dalam semua atau majoriti matapelajaran tetapi tewas dan jatuh terjelepok semasa kehidupan di universiti. Puncanya sangat pelbagai namun asasnya adalah akibat lemah jatidiri hingga ‘cair' dengan alam universiti yang lebih bebas berbanding sekolah. Satu alam yang menguji proses kebijaksanaan seseorang dalam menentukan hala tuju kehidupan dan ujian membuat banyak keputusan. Ramai juga yang gagal, lalu kejayaan SPM mereka hanya tinggal sebagai satu kenangan manis. Selepas keluar dari univeristi mereka bukan lagi individu teladan dan kebanggaan agama dan negara, mereka hanya orang biasa, malah mungkin duduk pun sebaris dengan individu yang gagal di dalam SPM mereka.

Tanpa mengira lokasi universiti, sama ada di dalam atau luar negeri, pokok pangkal kelangsungan kejayaan adalah terletak pada hati dan diri sendiri. Ramai yang berbangga apabila dapat melanjutkan pelajaran ijazah pertama ke luar negara, namun pulangnya tidak seperti manusia. Rambut kusut masai lagak penyanyi rock, pakaiannya berkiblatkan barat, hati dan minda menggengam erat ideologi barat, percampuran bebas dianggap bertamadun, duduk serumah lelaki dan perempuan bujang dianggap 'bagus' serta jimat. Bukan semua berambut panjang salah, memang benar ia terletak kepada niat dan pelbagai faktor lain (antaranya jimat budjet) namun point yang ingin saya tegaskan di sini adalah terdapat ramai yang penampilan luarannya sengaja diniat menyamai barat hasil kekagumannya kepada negara itu.

Lebih malang, dara dan terunanya sudah lama mengucapkan selamat tinggal. Akibat kelemasan dengan cara hidup masyarakat Barat, dirasakan cara hidup ini sebagai mulia dan terkehadapan. Kasihan melihat pelajar-pelajar cemerlang SPM seperti ini, mereka dibiayai oleh kerajaan Malaysia hasil wang masyarakat Malaysia atas kejayaan aqal mereka, namun rupanya aqal mereka HANYA BIJAK MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN, tetapi tidak bijak menangani persoalan kehidupan realiti, tidak bijak membuat keputusan mungkin kerana tiadanya ‘silibus khusus yang dibocorkan oleh guru'. Kegagalan ini adalah hasil dari hati yang gersang dan kering dari panduan Ilahi.

MINDA ROBOT AKAN KARAT

Itu jika dilihat dari aspek kegamaan, namun bukan sekadar itu sahaja. Pengalaman saya mengendalikan banyak interview, demikian juga hasil maklumat dari rakan-rakan di industri kewangan di Malaysia, juga adik beradik saya yang kini banyak mengendalikan temuduga kerja di syarikat masing-masing. Dapat saya kumpulan kesimpulan bahawa, keputusan 3.5 hingga 4.0 CGPA di univeristi juga tidak menjamin kemampuan dan bakat graduan.

Saya telah pernah menuliskan sekelumit panduan semasa temuduga, satu proses ujian yang kerap mendedahkan kekeringan bakat dan minda calon, walaupun dahulunya ia seorang cemerlang SPM, juga top scorer di Universiti.

Bukanlah niat saya menghilangkan motivasi pelajar untuk mencapai keputusan mantap lagi cemerlang. Ia satu kewajiban dan tuntutan, tetapi aspek kecerlangannya perlu diluaskan lagi. Menjadi seorang mat atau minah buku di universiti adalah teknik mudah untuk menjadi graduan berminda robot, cepat pula tarikh expirednya. Bijak-bijaklah mengatur urus pengajian di universiti, jangan menjadi ulat buku berminda robot yang amat mudah outdated dari dunia realiti, akhirnya menjadi computer buruk berharga murah.

Bagi menjadi minda manusia cemerlang, pelajar cemerlang wajib membuka minda dan terlibat dalam banyak masalah sama ada persatuan, dakwah dan aktviti di universiti. Semakin banyak dan pelbagai masalah yang menyerang semasa di universiti lalu dia mampu melepasinya, KIAN TINGGILAH antibodi diri.

Peratusan untuk menjadi seorang yang kebal, berpasak kukuh, berminda komputer yang sentiasa updated dan menjadi idaman setiap institusi dan syarikat akan semakin CERAH. Lebih dari itu, andalah cahaya baru buat kebangkitan agama dan pengemudian hala tuju masyarakat. Saya bukan bercakap kosong, tetapi hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman. Sebenarnya telah ramai yang berjaya dan ramai juga yang saya kenali. Jalan mereka hampir serupa cuma belum dan tidak dibukukan untuk tatapan ramai.

Nasihat saya buat Nik Nur Madihah dan pelajar-pelajar lain yang mencatat kejayaan SPM, sama ada anda memilih UK, Jordan, Mesir, Malaysia atau di mana negara pun, jalan kejayaan masih jauh. Hempasan ombak cabaran dalam membuat keputusan masih belum melanda. Bersedialah, dan gariskan awal-awal hala tuju kejayaan diri. Beristisyarlah (bertanya dan bermesyuarat) dengan individu yang mempunyai hikmah dan pengalaman, sesungguhnya kejayaan melalui pengalaman itu suatu realiti, sedangkan kejayaan peperiksaan bertulis hanya teori.

Akhirnya, khas buat Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, selamat datang ke dunia barumu. Awasilah ia dengan minda dan hati yang sedar. Segala jenis syaitan sedang menunggumu di kiri kanan, depan dan belakang. Kenalilah segera mana syaitan dan mana Malaikat. Semuanya sudah tercatat di dalam Al-Kitab dan Khazanah Nabi dan sahabat.

Sesiapa yang tinggal berhampiran dengan rumahnya, amat saya hargai jika dapat diprint artikel ini dan disampaikan kepada beliau.

Salam ikhlas perjuangan dari saya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Wednesday, March 11, 2009

Takut yang Sudah Lama Tercabut

“Kamu tahu tak kalau kamu terbabas, patah riuk tulang tu? Kamu nak ke lumpuh sampai mati menyusahkan aku menjaga kamu? Kecil-kecil kamu berak dalam lampin, dah besar pun aku nak basuh berak kamu!” bebel Mak Jah kepada anaknya Din yang gila merempit.

Si anak membatu.

Sebelum Mak Jah memanjangkan lagi leternya, Din bingkas bangun, menyambar topi keledar tanpa tanda SIRIM itu dan terus memecut keluar. Membiarkan Mak Jah menggelengkan kepala dalam linangan air mata. Anaknya tidak takut mati.

“Rokok boleh membunuh!” jelas terpampang di kotak rokok.

Elin yang perempuan itu, tidak langsung tersentuh dengan nasihat berkenaan. Lagak seorang anggota pasukan berani mati, perkataan bunuh dan mati bagai tidak punya sebarang makna. Semangat tidak takut mati yang sepatutnya disalurkan ke jalan pembebasan umat Islam di Palestin!

TAKUT YANG MENYELAMATKAN

“Cicak, cicak!” gertak seorang ibu, menakut-nakutkan anak kecilnya daripada bermain di dapur sendirian.

Si anak kelam kabut lari kerana takutkan cicak itu tadi. Takut yang dilahirkan melalui imej cicak itu tadi tujuannya adalah untuk menyelamatkan si anak daripada benda-benda yang merbahaya di dapur.

Si anak yang masih belum faham, begitu ‘berani’ memegang cerek panas. Akibat tiada takut, dirinya tercedera. Lalu berkembanglah akal manusia seiring dengan pertambahan usianya agar ketakutan itu bertindak mencegah dirinya daripada terdedah kepada bahaya.

Takut itu menyelamatkan.

Tetapi manusia hari ini hilang rasa takut. Jika rancangan Fear Factor, pesertanya diuji tahap keberanian masing-masing. Lebih berani seseorang itu terhadap benda-benda yang lazimnya ditakuti manusia umum, lebih pahlawan dirinya di mata hakim dan penonton yang menyaksikan.

Era ini, takut cuba dibunuh daripada jiwa manusia. Bukan untuk berani berjuang. Tetapi berani yang tidak tentu arah.

Bukan sahaja ketakutan itu hilang daripada jiwa penghisap rokok atau mat rempit, takut sudah tidak punya apa-apa erti dalam hampir keseluruhan aspek kehidupan semasa. Lebih membimbangkan, rasa takut itu sudah tercabut dari jiwa para penjenayah. Bermula daripada kesalahan kecil meletak kereta sesuka hati di kiri kanan jalan, hinggalah kepada kejadian ragut, rompak, rogol, bunuh dan dadah, sudah tidak ada hukuman yang boleh bertindak menghalang manusia daripada melakukannya.

“Dihukum penjara 500 tahun!” terpampang berita di dada akhbar.

Mati hidup balik, mati hidup balik, mati hidup balik, masih belum terbebas dari hukuman penjara yang ekstrim itu. Namun bisakah hukuman itu mencegah penjenayah seks dari terus bermaharajalela?

Tidak…

Rasa takut itu sudah tiada.

Di sebuah negara yang kadar jenayahnya amat menggerunkan seperti Amerika Syarikat, hukuman ganas yang amat kejam seperti kerusi elektrik sudah lama diperkenalkan. Bayangkan sahaja seorang penjenayah diikat di sebuah kerusi kayu, tenaga elektrik arus tinggi disalurkan ke seluruh tubuhnya hingga memancut darah keluar dari sana dan sini, mati dengan penyeksaan yang tidak tertanggung oleh mata yang melihat dan fikiran yang membayangkannya.

Namun, bisakah kekejaman itu mencegah jenayah dan mengurangkan kadar ketakutan masyarakat akibat perbuatan melanggar undang-undang? Jauh sekali! Malah Amerika Syarikat terus menjadi negara paling gila dalam konteks melahirkan pembunuh bersiri dan jenayah-jenayah paranormal yang lain. Seratus orang pemberontak dihukum tembak di khalayak ramai, seribu pemberontak datang menggantikan. Biar terjelir lidah menggelepar menuju kematian oleh pengedar dadah di tali gantung, kadar jenayah tidak pernah berkurang.

Apa sahaja gertakan dan hukuman, seakan-akan manusia sudah tidak mampu untuk menggeruninya.

Kecuali HUDUD!

Belum lagi terlaksana, baru sahaja dimanifestokan perlaksanakannya, seluruh alam menjadi kecoh. Pelbagai komen paranoid terbit dari mulut semua lapisan masyarakat. Yang cerdik menjadi bodoh, yang jahat menjadi hangat. Lalu keluarlah kenyataan-kenyataan yang menggambarkan kekecohan dan ketakutkan itu.

“Makan sup tangan???” kata si bijak pandai.

“Habislah jalan tak cukup batu, habis terguna merejam penzina!” bidas si ilmuan.

“Nanti non Muslim memberontak!” tegas seorang ahli politik.

Seribu satu reaksi ditunjukkan, untuk membantah usaha melaksanakan kanun jenayah Islam itu. Sedangkan segala alternatif yang ada, tidak sedikit pun mencegah penjenayah dari terus menerus melakukan fasad. Mereka mencuba pelbagai wasilah untuk mencegah jenayah sedangkan CEGAHAN hanya bisa datang dari Allah.

5_38

“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu cegahan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [al-Ma'edah 5: 38]

Takut itu adalah perasaan hati.

Hati itu milik Allah.

Allah jua yang mencampakkan rasa gerun di hati manusia yang dikehendaki-Nya. Dan kehendak Allah itu hanya dapat diraih apabila formula dan acuan (sibghah) Allah diguna pakai. Sesungguhnya unsur nakaalan minaLlaah itulah yang tidak wujud di dalam hukum hakam yang lain. Biar sekejam kerusi elektrik, biar sejelek gantung sampai mati, biar sengeri tembak di khalayak ramai, ia tidak mampu menghasilkan nilai cegahan kerana cegahan itu adalah urusan Allah.

Cegahan inilah yang bisa mencegah manusia dari menjamah jenayah. Ketakutan yang dicampakkan Allah ke dalam hati manusia, bertujuan untuk mencegah dirinya, dan manusia lain daripada kerosakan yang membinasakan.

Ia bukan sekadar ketakutan yang mencegah pencuri telur ayam, tetapi juga para bangsawan yang seleranya sebesar perbendaharaan negara. Rasa gerun untuk mengekang manusia berpangkat tinggi dari bermaharajalela menyelewengkan harta rakyat.

Cegahan inilah yang bisa menghentikan kegiatan menjual beli undang-undang. Sebuah negara di sepanjang sejarah ketamadunan manusia, tidak pernah musnah kerana miskin harta dan pembangunan. Tetapi keseluruhan hidup manusia menyaksikan negara segagah empayar Rom dan Parsi, Utara dan Selatan, Timur dan Barat musnah apabila manusia tidak lagi mampu dicegah dari kejahatan. Apatah lagi kezaliman bangsawan dipejamkan mata dan kesalahan si miskin diheret sepuasnya.

saraqasyarif

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana tatkala si bangsawan mencuri, mereka membiarkannya. Sedangkan apabila si lemah mencuri, mereka mengenakan hukuman hudud ke atas. Demi Allah, kalaulah Fatimah binti Muhammad itu mencuri, nescaya akan kupotong tangannya” [Hadith Muttafaq 'alayh]

Inilah pakej berupa ancaman dari Allah dan Rasul buat sekalian pencuri dan penjenayah, baik dia itu rakyat biasa yang mencuri besi di rumah jiran, mahu pun bangsawan yang merompak perbendaharaan negara untuk kepentingan hawa nafsu mereka.

Apa sahaja ancaman lain, tidak bisa menimbulkan rasa gerun dan takut di hati penjenayah. Walaupun manusia sudah begitu moden, ketakutan mereka masih ortodoks… menggeruni apa yang digeruni oleh manusia zaman berzaman.

Hanya hukuman Allah yang mampu menggerunkan HATI… tempat jatuh pandangan Allah.

63_7

“…Namun orang-orang Munafiq itu tidak mengerti” [al-Munafiqoon 63: 7]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Seminggu di Sekolah Lama

Bermula 8hb Mac 2009 maka bermulalah lagi tugasan yang perlu untuk aku laksanakan pada setiap semester...Pengalaman Berasaskan Sekolah(PBS) dan sekolah bertuah yang telah aku pilih pada kali ini ialah sekolah lamaku Sekolah Kebangsaan Gaal,Pasir Puteh Kelantan.Disinilah tempat aku mengenal ABC,123,membaca dan menulis dari darjah satu sampai la ke darjah enam dari tahun 1994-1999.


Bila datang ke sekolah lama ni,banyak la kenangan dan memori indah yang telah lama ditinggalkan muncul kembali terutama bila berjumpa semula dengan guru-guru yang telah mendidik diriku ini sampai aku berada di tahap sekarang ini tanpa merasa penat dan jemu.Ungkapan terima kasih yang tidak terhingga aku ucapkan buat guru-guru yang telah mencurahkan segala ilmu dalam mendidikku untuk menjadi seorang manusia.

Ramai lagi guru-guru lamaku masih setia mengajar di sekolah ini,Ustz.Abd Aziz Mohamed,Cikgu Ku Zawiah Ku Lah,teacher Raja Azizah Raja Ahmad,Cikgu Che Jah Che Lah,Cikgu Sapinah Ghani ,Ustazah Che Embong Che Ali,Cikgu Anisah Simad,Cikgi Zainon Stapha dan Cikgu Rosmidzuhaini Wan Daud.

bersama guru besar En.Che Wil b.Hassan

Persekitaran sekolah pun telah berubah,rasanya jauh lebih ceria berbanding dahulu bangunan bilik KHB,bilik muzik,dewan,kantin sekolah lama pun telah tiada lagi telah diruntuhkan bagi memberi ruang kepada pembinaan bangunan baru.

Hari ini 12hb Mac 2009 maka berakhirlah tugasanku di sekolah ini,selain daripada menyiapkan tugasan yang diberi oleh pihak Institut(pengajaran bahasa Arab di sekolah-subjek minorku Bahasa Arab)pengalaman melaksanakan tugasan di sekolah lamaku ini cukup bermakna kerana telah mengembalikan semula memori-memori indah yang telah aku tinggalkan disini buat sekian lama.

Sekalung penghargaan aku ucapkan buat guru-guru yang telah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memberikan input-input serta maklumat-maklumat yang diperlukan untuk menyiapkan tugasan pada kali ini terutamanya kepada Guru Besar En.Che Wil b. Hassan,Penolong Kanan Hal Ehwal Murid En.Azhar b.Chik,guru-guru J-qaf Ustaz Zaradi Hassan,Ustaz Hafizur Rahman Ahmad dan Ustazah Nooraini Hasbullah.Sekian.Wassalam..