Monday, September 14, 2009

Ramadhan : Batalkah

Puasa Kita Jika…

Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

(ULANGAN SIAR PADA 2 SEPT 2008)

Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.

Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.

Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu’) dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh – Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-

1) Raih Taqwa : Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang ‘Confirmed’ : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang ‘Confirmed’: Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-

1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar’ dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida’ dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja’ atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh :

Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :

2SL37-inhaler


Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Juali 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.

Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:

Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar’iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik.

Ia berdasarkan hadith : “Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat :

Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : “Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah” (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-

كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ

Ertinya : “Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya” (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah : -

فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام

Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-

“aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)” (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi’ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)

Al-Qaradawi pula menambah “berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya ” (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari ramadhan.

9) Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)

Dalilnya adalah :-

من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له

Ertinya : “Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya” ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10) Keluar air mazi

Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai’e, Hasan albasri, As-Sya’bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh

Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)

Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur

Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159)

13 ) Mandi

Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Kecuali seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.

Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

Sekian,

Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa untuk semua pengunjung zaharuddin.net

Zaharuddin Abd Rahman

13 Sept 2007

01 Ramadhan 1428 H

http://www.zaharuddin.net/

Thursday, September 10, 2009

Perkara yang Tidak Membatalkan Puasa

Keputusan Seminar Feqh Perubatan ke 9, yang diadakan di Casablanca, Maghribi pada 8-11 Safar 1418, bersamaan 14-17 Jun 1997 :

(Anjuran Institut Kajian Sains dan Perubatan Sultan Hassan II dengan kerjasama Akademi Fiqh Islam serta WHO -World Health Organization)

Ahli majlis/peserta seminar tersebut telah sepakat bersetuju bahawa perkara-perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA.

1. Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga

2. Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung). [contoh: Sublingual Gliceryl Trinitrate]

3. Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan, membasuh, memasukkan spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin) [contoh: vaginal examination, speculum examination, cervagem]

4. Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray. [contoh: cystoscopy]

5. Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut. [contoh: Dental procedure]

6. Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah. [makanan i.e Total Parenteral Nutrition regime. Not sure about IV drips, vitamins, glucose, but if needed for therapeutic purposes, then it is Harus]

7. Penderma atau menerima pemindahan darah

8. Oksigen dan gas bius

9. Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat

10. Mengambil sampel darah untuk ujian makmal

11. Sesalur dan bahan perantara untuk arteriography (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain. [contoh: Angiography, contrast for imaging]

12. Teropong dalam rongga perut (endoskopi) untuk mencari punca penyakit.

13. Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk ke dalam perut. [contoh: Ear Nose Throat examination]

14. Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat kedalamnya, (contoh: Intra Uterine Contraceptive Device)

15. Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain.

Sementara iu majoriti peserta (terdapat minoriti yang tidak bersetuju ) menambah perkara berikut TIDAK MEMBATALKAN PUASA [No 16 sehingga 20]

16. Ubat titis hidung, semburan hidung dan ubat sedut

- Bagi penyakit asma atau lelah, amalan penggunaan inhaler tidak membatalkan puasanya kerana yang disedut itu ialah gas dan untuk tujuan perubatan. Ini adalah fatwa kebanyakan ulama masakini seperti Sheikh Ben Baz dan merupakan pendapat majoriti ulama yang bersidang di Seminar Feqh Perubatan ke 9.

- Keharusan penggunaan inhaler bagi pesakit asma juga harus berdasarkan fatwa umum dalam masalah ini oleh Syeikhul Islam Ibn Taymiyah. Keharusan ini meliputi teknik perubatan yang tidak menggunakan makanan atau minuman. Jika dari jenis debu maka diharuskan.

- Imam Ibn Hazm al-Andalusi (Kitab al-Muhalla) juga berpendapat tidak batal puasa dalam urusan perubatan termasuk suntikan atau menghirup serbuk.

17. Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur.

18. Pembedahan yang melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan untuk berpuasa

20. Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya ke dalam perut [tidak pasti: saline for washout]

Monday, July 27, 2009

Minggu Yang Dihiasi Program

Alhamdulillah buat kesekelian kalinya satu minggu telah dipenuhi dengan pelbagai program.Belum sempat merebahkan diri untuk untuk merehatkan badan,muncul pula program lain yang memerlukan diri untuk memberikan komitmen.Dua program yang merupakan aktiviti wajib yang menjadi rutin diri sebagai mahasiswa institut perguruan dan satu lagi merupakan satu program jamaah yang sengaja diwajibkan.Program Bina Insan Guru yang menjadi program wajib untuk setiap semester bagi mahasiswa program ijazah sarjana muda manakala program jamaah merupakan suatu wasilah untuk sentiasa mengikat diri dengan amal Islami dan Jamaie.

Gambar semasa menjadi fasilitator di Sk Rendah Agama Kg. datuk Abu Bakar Baginda,Bangi,Selangor.

dikelilingi oleh adik-adik pelajar yang sentiasa menunjukkan
wajah yang penuh ceria


Inilah gambar-gambar yang sempat diambil semasa aktiviti bersama keluarga angkat di Kg.Janda Baik,Bentong,Pahang.

bersama ahli kumpulan:duduk dari kiri Husni dan saya
berdiri di belakang dari kiri Hafizah,Hazirah,Sadrina dan Aziah


dah penat buat kerje...tiba masanya untuk menikmati juadah

bergambar bersama ayah dah ibu angkat tercinta...
walau hanya seketika,tautan ukhwah menjadikan kita umpama
sebuah keluarga Ustaz Rahim dan Mak Cik Marniati


Ini pula gambar sekitar mukhayyam bersama-sama ikhwah PEMBINA DHL yang diadakan bertempat di Linggi,Melaka.

sesi menunjukkan bakat..he3

jeng,jeng,jeng....akhirnya inilah hasilnya

waktunya telah tiba...

tugasan yang perlu dilaksanakan semasa aktiviti kembara

pengisian rohani bertajuk Islam Adalah Penyelesaian oleh Ustaz Abdul Hakam Jaafar

pemandangan senja Selat Melaka

Monday, July 20, 2009

Tatkala Ujian Menimpa...

Setelah sekian lama menyepi,terlalu malas untuk menulis ditambah dengan pelbagai ujian yang menimpa diri membuatkan tahap kemalasan itu makin bertambah.Malam ini aku cuba gagahkan diri untuk menulis beberapa perkara yang terbuku di hati dan dah lama muncul di benak fikiranku ini.

Pertamanya bila diri kita dilanda dengan ujian walaupun ia tidaklah sebesar manapun,tetapi percayalah sebenarnya kita begitu mengharapkan sokongan orang sekeliling.bukan mengharapkan pertolongan tetapi mengharapkan hanya sekadar sokongan.tatkala datangnya dorongan dan semangat itu membuatkan diri kita yang tidak dapat lari dari sifat lemah ini mepunyai sedikit kekuatan untuk kembali mempunyai semangat atau bangkit dari ujian yang menimpa.Tetapi bila kita mengharapkan sesuatu yang bukan milik kita,adakalanya ia tidak kunjung tiba bak kata Prof.Madya Dr Fauzi Deraman(pensyarah untuk subjek mustalah hadithku di UM)" sabar je la".

Adakalanya tautan ukhwah yang dibina kononnya atas dasar iman dan takwa adakalanya hanya bersifat retorik semata-mata.Berbuih mulut melafazkan ikrar tanda kita bersaudara tapi pedih sungguh bila berada dalam situasi memerlukan,dorongan dan semangat pun tak terkata.Aku insan biasa,dah biasa dengan pelbagai kesusahan dan tidak mengharapkan pertolongan sesiapa tetapi andai kita bersaudara kenapa tidak ditanya khabar berita.Mungkin juga,aku ini hanya melukut ditepi gantang,bila susah baru mencari teman,mungkin juga itu suatu kesilapan diri INSAN yang serba kekurangan ini.

Keduanya,bila diri diuji Allah dengan ujian kesakitan(demam sikit je pun),jangan mudah melatah..terimalah ujian itu sebagai suatu tanda betapa kasihnya pencipta terhadap diri kita.Tatkala diri tidak terlepas dari melakukan noda peringatan datang sebagai suatu tanda kita telah terleka juga sebagai suatu kaffarah terhadap dosa yang kita lakukan samada secara sedar atau tanpa sedar.Itupun kalaulah kita ni jenis manusia yang jenisnya suka berfikir atau dengan kata lainnya manusia yang Allah gelarkan dengan gelaran ulul albab tetapi kalau yang jenis yang malas nak fikir ni jadilah golongan yang sebaliknya.

Walau apapun yang terjadi dalam hidup ini anggaplah ia sebagai suatu proses untuk mematangkan diri kita sebagai manusia,dengan ujianlah membuatkan diri kita berfikir,merenung dan mungkin juga menilai sejauhmana kekuatan diri kita bila diasak,kalau yang kecil pun dah merebahkan diri kita,bila tsunami melanda alamatnya tiada apa yang tersisa la jawabya.

Thursday, July 9, 2009

Surat Tok Guru Nik Aziz Kepada PM

Yang Amat Berhormat
Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Jabatan Perdana Menteri
Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 PUTRAJAYA

Assalamualaikum WM WB.

Semoga YAB. Dato’ Seri sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan beroleh petunjuk yang berpanjangan dari Allah SWT dalam memimpin Negara.

YAB Dato Seri,

Cadangan Mengadakan Debat Ilmiah Isu UMNO Parti Menolak Islam

Dengan segala hormatnya, di maklumkan bahawa saya ada menerima khabar tentang laporan polis yang dibuat oleh anak buah di Kelantan Dato’ Seri berhubung dengan perkara di atas. Pada dasarnya, saya lebih banyak berlapang dada.

Mengikut laporan, kononnya saya telah menghasut dengan mengatakan bahawa UMNO sebuah parti yang sesat. Di sini, izinkan saya tegaskan sekali lagi bahawa “mana-mana faham yang menolak Islam (termasuk UMNO) – sememangnya kita panggil ajaran sesat”. (lihat Utusan Malaysia muka surat 6, 27 Jun 2009).

Sebagai penjelasan, mari kita mulakan begini. Pertama, dunia ini bukan dibuat oleh manusia atau terjadi sendiri. Ia ada penciptanya dan tuannya yakni Allah. Oleh sebab itulah kita tidak boleh buat pandai-pandai, melebihi dari apa yang menjadi kehendak “Tuan Punya” yang menjadi tuan rumah kepada seluruh alam ini.

Kedua, al-Quran menetapkan bahawa manusia, tanpa mengira bangsa , bahasa dan keturunan adalah menjadi khalifah-Nya. Kepada manusia pertama iaitu Adam ‘alaihissalam, Allah SWT telah menetapkan bahawa sebarang perbalahan yang berlaku di antara anak buah kamu (lihat sebahagian surah al-Baqarah Ayat 36) akan menjadi reda dan tenang (lihat pula sebahagian Surah al-Baqarah Ayat 38)sekiranya kamu menuruti hidayah-Ku. Atau, maksud kedua-dua perkara ini ada dirangkumkan dengan penuh didalam surah Thoha yang bermaksud, “Allah berfirman:turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama , sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Maka, jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, lalu barangsiapa yang mengikuti petunjuk dari-Ku, ia tidak akan sesat dan celaka.”(Lihat surah Thoha Ayat 123). Ini adalah benda yang menjadi tugas utama yang amat penting para Nabi sejak daripada zaman berzaman termasuk Nabi Muhammad SAW.

Nabi SAW mewajibkan kita membaca Fatihah dalam sembahyang. Di dalam Fatihah, telah ditetapkan tiga perkara pokok. Satu laluan yang betul dan dua yang salah. Ayat “si ro thollazi na an ‘am ta ‘alai him” yang menuntut jalan yang lurus adalah betul manakala ayat “ghoiril maghdhu bi ‘alaihim waladdhol liin” adalah yang salah seperti yang di maksudkan. Aneh, bahkan silapnya Umno ialah Umno tolak yang betul iaitu “siro thollazi na an ‘am ta ” yang menjadi jalan Nabi-Nabi iaitu menolak Islam dan mengambil sistem sekular barat yang tidak pasal-pasal menimbulkan pecah-belah teruk di kalangan seluruh orang Melayu dan orang Islam bukan Melayu di Malaysia. Ini termasuk jugalah perpecahan antara orang Islam dan Non –Islam di negara kita.

Lebih buruk apabila semuanya ini menjadikan orang-orang yang belum Islam terkapai-kapai; yang mana yang sebenar samaada Islam atau sekular. Hasil daripada inilah saya rasa sudah sampai masanya untuk mengajak Presiden Umno yang menjadi Perdana Menteri sekarang ini bersemuka dengan saya di atas dasar “waja dil hum billati hiya ahsan” yang bermaksud, “serulah manusia pada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan nasihat yang baik “(Sebahagian dari maksud surah an-Nahl Ayat 125).

Persoalan yang ada di hadapan kita sekarang ialah kenapa Umno tolak Islam sedangkan Islam adalah jalan yang bersifat “siro thol mustaqiim”? Bahkan, sikap Umno melawan PAS sedangkan PAS yang ditubuhkan sejak 1951 meletakkan Islam sebagai dasar adalah sebuah kekeliruan yang cukup dahsyat. Pegangan Umno yang menolak jalan yang lurus inilah yang saya ertikan sebagai boleh membawa kepada perpecahan dan kesesatan.

Menyamakan atau membandingkan ajaran Ayah Pin atau komunis dengan UMNO yang menolak Islam adalah sekadar mematuhi kaedah al-balaaghah. Ini penggunaan perumpamaan atau kiasan semata-mata. Jauh dari segi maudhu’, ia bertujuan untuk menjelaskan bagaimana aliran asal sekularisme yang menolak agama khususnya Islam dari pemerintahan. Ini punca sebenar atau ibu kepada segala kesesatan. Apabila sekularisme itu adalah faham yang sesat, maka tidakkah faham kebangsaan yang merupakan cabang dari ajaran sekular bawaan Parti Kebangsaaan Melayu Bersatu (UMNO) itu juga turut sesat?

Seperti yang kita sedia maklum, perdebatan diterima oleh Islam dan diterima oleh demokrasi. Ia perkara fitrah dan perkara sedunia. Contoh terdekat ialah perdebatan antara Obama dengan saingan beliau dari parti Republikan. Begitu juga dengan debat antara calun-calun Presiden Indonesia terkini yang sedang berlangsung di Jakarta yakni antara regu Susilo Bambang Yudhono/Boediono, Megawati Soekarnoputri/Prabowo Subianto dan Jusuf Kalla/Wiranto.

Jika di Eropah dan negara negara demokrasi yang lain, debat lebih ditumpukan kepada perkara-perkara cabang yang bersifat keduniaan semata-mata maka apa salahnya jika kali ini kita perbahaskan perkara pokok yang menyentuh aqidah? Masalah yang saya bawa ini adalah perkara aqidah yakni persoalan tunjang yang menyentuh kedua-dua kepentingan secara bersekali, dunia dan akhirat.Jika tidak betul aqidah, sembahyangpun tidak diterima. Dunia demokrasi yang sekular; mana ada pedulikan masalah aqidah dan

persoalan “sesat tak sesat”? Soal sesat atau tidak, ini istilah ugama. Ini bukan isu perlembagaan dan undang-undang.

Sesat seperti yang terdapat di hujung surah al-Fatihah (adho- Lliin) bererti dholalah yakni tidak bertemu atau berjumpa jalan.Kita perlu sama-sama sedar bahawa jalan yang boleh diharap hanyalah jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ini persoalan “huda llil muttaqiin” yakni jalan yang menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa (lihat sebahagian maksud al-Baqarah Ayat 2). Tak turut jalan inilah apa yang dipanggil sesat.
Tidak timbul sama sekali soal menghasut atau mencetuskan keresahan. Ini isu ugama sepenuhnya. Ini persoalan teguran dan dakwah.

Demi mencari kejernihan dan menghentikan polemik, saya mohon mencadangkan sebuah debat ilmiyyah dianjurkan dalam tempoh terdekat kearah menjelas dan merungkai segala kemusykilan dari kedua-dua perspektif parti bertajuk “kerana apa Umno tolak Islam dan kerana apa Umno lawan PAS”; tidak lebih daripada itu. Insya Allah, saya bersedia untuk bersama Dato’ Seri Perdana Menteri dalam majlis berkenaan tanpa meletakkan sebarang syarat. Lantiklah mana-mana mufti atau salah seorang sarjana yang faqih lagi amanah, baik dari dalam mahupun luar Negara untuk menjadi pemudah cara yang adil bagi tujuan ini. Tempat yang sesuai boleh ditetapkan oleh pihak Dato’ Seri, baik di Kuala Lumpur atau di mana-mana. Hari dan masa juga adalah mengikut kelapangan dan keselesaan YAB. Saya boleh mematuhi kepada apa jua ketetapan asalkan Dato’ Seri bersedia untuk bersama dalam sebuah rapat ilmiyyah untuk dibuat siaran langsung demi manfaat Negara.

Seluruh rakyat akan menjadi hakim di atas pelbagai sandaran yang saya maksudkan ketika mengatakan apa yang telah saya sebut mengenai fenomena UMNO dengan persoalan kesesatan ini.

Jadi, sekali lagi saya dengan ikhlas mengangkat cadangan ini agar sudilah apa kiranya YAB. Dato Seri menerima pelawaan ini mengikut kesesuaian tarikh Dato” Seri demi kebaikan bersama. Semoga diizinkan Allah. Terima kasih, Wasalam.

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

sumber:
http://www.blogtokguru.com/pages/posting/17/surat-debat-tok-guru-kepada-pm

Thursday, July 2, 2009

Kerana Ia Percuma..

Kerana ia percuma,
yang melihat hanya mata tapi hati tidak merasa.

Kerana ia percuma,
begitu senang diperolehi dan begitu senang dilupa.

Kerana ia percuma,
kekaguman hanya pada zahirnya tapi lupa pada yang mencipta.

Kerana ia percuma,
datang perginya hanya dipandang sebelah mata.

Tetapi beruntunglah insan yang menyedari dirinya sebagai seorang hamba,setiap yang diperoleh dimanfaat sebaiknya,kerana dia adalah insan hina tiada apa yang istimewa melainkan semuanya hanya kurniaan tuhan yang maha pemurah lagi maha mengasihi hambanya..

Saturday, June 20, 2009

Sistem pendidikan negara hanya berjaya daripada espek meterial

Nyza Ayob
Sat Jun 20, 09

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Sistem pendidikan di Malaysia hanya berjaya daripada aspek material tetapi gagal dalam mengetengahkan aspek pembangunan manusiawai atau pembangunan insan.

Demikian ditegaskan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato' Abu Bakar Chik sebagai respons kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Malaysia dikagumi dan disanjung tinggi sebagai salah sebuah negara ahli Komanwel yang jauh ke hadapan dalam bidang pendidikan berbanding negara lain.

Jelas beliau, pembangunan modal insan ialah kemampuan individu mengurus diri dan mengurus negara sehingga membawa kesejahteraan.

Beliau berpandangan individu yang dapat menjejakkan kaki di pusat-pusat pengajian tinggi, semakin hari dilihat tidak dapat menguruskan diri ke arah yang lebih positif.

"Hari ini kita lihat tidak kurang dua juta penagih dadah, tidak kurang dua juta yang minum arak dan tidak kurang dua juta yang mengalami tekanan mental. Jadi ini bermakna satu perlima daripada jumlah penduduk yang mengalami masalah sakhsiah diri.

"Ini berkaitan dengan pendidikan. Dan kesan daripada sistem pendidikan yang tidak menekankan pembangunan manusiawi inilah akan menyebabkan adanya individu yang dikatakan berpendidikan tinggi tetapi terlibat dengan gejala rasuah serta penyalahgunaan kuasa," katanya.

Sehubungan itu beliau menekankan, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan tidak harus hanya berbangga dengan kemudahan teknologi maklumat yang dikatakan salah satu kaedah pendidikan, tetapi harus menilai kembali pembentukan jati diri serta akhlak kepada setiap pelajar.