Saturday, May 16, 2009

SELAMAT HARI GURU

Tanggal 16 Mei setiap tahun merupakan tarikh keramat menandakan berlangsungnya sambutan hari guru peringkat kebangsaan yang saban tahun disambut di negara kita dan pada tahun ini tema yang dipilih ialah "Guru Pembina Negara Bangsa" .Maka bertimbun-timbunlah ungkapan-ungkapan selamat hari guru yang berkumandang melalui pelbagai medium sebagai menandakan betapa tingginya penghargaan dan pengiktirafan kita terhadap jasa,pengorbanan dan ilmu yang tanpa jemu dicurahkan oleh insan yang bergelar guru.


Terkenang waktu persekolahan dulu,setiap kali hadirnya hari guru..datangnya hanya sebagai satu keseronokan,majlis diadakan bermakna tiadalah kelasnya dan merupakan satu waktu yang amat sesuai untuk dijadikan alasan untuk tidak menghadirkan diri ke sekolah.Tetapi bila semua itu telah berlalu(meninggalkan alam persekolahan),kerinduan hadir untuk mengungkapkan ucapan selamat hari guru,terima kasih cikgu tatkala terkenangkan pengorbananmu oh guru-guruku...terutamanya Ustaz Yasin guru Bahasa Arabku,Cikgu Mashitah guru Sejarahku,Ustazah Nornazalelawati guru Pendidikan Al-Quran dan Sunnahku dan ramai lagi guru-guru yang lain.Munkin kerinduan ini mula hadir setelah diri ini memilih bidang perguruan,menjadi guru pelatih,setelah mula mendalami ilmu yang berkaitan dengan pendidikan,mula memahami dan mendalami tugasan dan peranan sebagai seorang guru.

Sebagai menghargai dan mengenang jasamu guru-guruku,ku ucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga serta kulampirkan sajak bertajuk guru oh guru nukilan sasterawan negara,allahyarham Usman Awang juga sebagai renungan untuk semua sahabat-sahabat bakal guru yang akan menceburi dunia pendidikan pada suatu masa nanti serta guru-guru yang telah lama berkhidmad dalam dunia yang diselubungi pelbagai cabaran ini.

Berburu ke padang datar

Dapat rusa belang kaki

Berguru kepala ajar

Ibarat bunga kembang tak jadi

(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat 'cikgu' kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Selamat hari guru buat semua guru-guruku di Sk Gaal Pasir Puteh,Maahad Saniah Pasir Puteh,CENFOS UIA PJ,pensyarah-pensyarah di IPGM-Kampus Pendidikan Islam,Bangi.. Selangor,juga kepada setiap insan yang pernah mengajarkan ilmu mereka kepada diri ini.



1 comment:

Bazzstary said...

slamat ari guru,ustaz